Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani. Sebut sahaja tentang 'role model' ini, saya teringat akan sebuah kisah kejayaan yang telah saya baca tidak lama dahulu.
Kisahnya bermula sewaktu perang dunia kedua. Terdapat seorang jeneral tentera Amerika yang begitu dikagumi oleh semua disebabkan kejayaan demi kejayaan yang dibawanya dalam peperangan. Ketokohan dan keberanian jeneral ini begitu dikagumi juga oleh seorang pemuda berpangkat prebet. Suatu hari, prebet ini berpeluang bersemuka dengan jeneral lalu dia terus bertanya, "Tuan, pada pandangan tuan adakah saya mampu, satu hari nanti. berjaya seperti tuan". Lalu, jeneral itu berkata, "Jangan tanya saya soalan bodoh ini". Prebet tidak berpuas hati lalu terus bertanya sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga dia memperolehi jawaban yang serupa. Lalu prebet bertanya kali ini, "Tuan, tiga kali saya tanya tuan tetapi tuan tetap berikan jawapan yang serupa, kenapa begitu tuan?". Lalu jeneral berkata, "Kalau kamu mahu jadi seperti saya, kamu mesti berfikir seperti saya, berjalan dan bercakap seperti saya, dan tindakan kamu pastinya juga nanti seperti saya. Kamu hanya boleh jadi seperti saya sekiranya kamu lalui jalan yang telah saya lalui. Kalau kamu lalui jalan yang berbeza, kamu akan sampai ke destinasi yang berbeza juga". Maka, pemuda itu mula faham. Mulai saat itu dia mula melakunkan setiap watak jeneral dalam kehidupan hariannya. Iaitu termasuklah cara fikir, cara bercakap dan cara berjalannya. 20 tahun kemudiannya, prebet itu berjaya merealisasikan matlamatnya menjadi seorang jeneral di pasukan tentera Amerika.
Cuba anda lihat senario berikut pula, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut.
Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh yang akan memohon untuk berlakun.
Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.
Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera.
Kalau anda seorang pelajar, anda bertindak seperti pelajar cemerlang di sekolah anda. Mengurus masa, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.
Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Fikir seperti mana mereka berfikir, bercakap, bergaya dan bertindak seperti mereka. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sekarang. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.
Tuesday, March 6, 2007
Subscribe to:
Posts (Atom)